Rabu, 14 Juli 2010

PEMIKIRAN IBNU QAYYIM

BAB I
PENDAHULUAN

Penulisan ini menjelaskan tentang pemikiran dan sumbangan Ibn Qayyim al-Jawziyyah (691/1292 –751/1350) dalam ekonomi. Dalam beberapa penulisannya di pelbagai tempat Ibn Qayyim membincangkan antara lain tentang asas falsafah ekonomi Islam, konsep kekayaan dan kemiskinan, ekonomi zakat, konsep faedah, riba al-fadl dan riba al-nasi’ah, mekanisme pasaran dan penghargaan. Inti pati utama dalam pemikiran ekonominya ialah merealisasikan konsep kebajikan sosial, pelaksanaan keadilan dan penghapusan eksploitasi dalam kehidupan perekonomian.


RIWAYAT HIDUP IBN QAYYIM
Nama beliau ialah Shams al-Din Abu `Abd Allah Muhammad b. Abu Bakr b. Sa`ad1 yang terkenal dengan nama Ibn Qayyim al-Jawziyyah. Ibn Qayyim dilahirkan pada 7 Safar 691H/ 9 Januari 1292M di Damsyik dan meninggal dunia pada tempat yang sama pada tahun 751H/1350M.4 Beliau dibesarkan dalam keluarga yang mementingkan dan mencintai ilmu pengetahuan. Ayahnya adalah guru pertama Ibn Qayyim yang telah mengajarkan kepadanya ilmu-ilmu asas Islam termasuk ilmu al-fara’id. Beliau telah menuntut pelbagai bidang pengajian dengan beberapa orang ulama’ terkenal pada waktu berkenaan. Antara guru-guru beliau ialah Qadi Sulayman b. Hamzah (m. 711H/1311M), Shaykh Abu Bakr (m. 718H/1318M), al-Majd al-Tunisi (m. 718 H), Abu al-Fath al-Ba’li (m. 709H), al- Saffi al-Hindi (m. 715H), al-Taqi al-Sulayman, Abu Bakr b. `Abd al-Da’im (m. 718H), Abu Basr b. al-Shirazi (m. 723H), `Isa al-Mut`im (9m.719H), Isma`il Maktum (m. 716H) dan Ibn Taymiyyah (661H–728H/1263M–1328M). Antara bidang pengajian yang dipelajari daripada mereka ialah tafsir al-Qur’an, hadith, usul al-fiqh dan fiqh. Kesungguhan dan ketekunan Ibn Qayyim mempelajari ilmu dam pelbagai bidang akhirnya menjadikan beliau terkenal sebagai seorang tokoh dalam bidang fiqh, usul al-fiqh, tafsir, bahasa Arab, ilmu kalam dan hadis. Malah menurut Ibn `Imad, Ibn Qayyim adalah seorang yang alim dalam bidang tasawuf.
Ibn Qayyim sangat terkenal sebagai seorang tokoh ilmuwan pada zamannya dan dapat mengusai pelbagai bidang ilmu. Beliau adalah salah seorang faqih yang mempunyai autoriti dalam Mazhab Hanbali. Ada sesetengah ulama’ sufi menggelar sebagai sufi agung. Beliau juga mempunyai personaliti dan peribadi yang baik yang amat sukar ditandingi oleh orang lain yang semasa dengannya.6 Ibn Kathir (m. 774H/1373M), salah seorang anak muridnya pernah menyatakan bahawa Ibn Qayyim adalah seorang yang kuat beribadat dan peribadi yang disukai oleh orang ramai pada waktu itu.7 Beliau menulis:

“Aku tidak pernah melihat pada zaman kami ini, orang yang kuat beribadat seperti Ibn Qayyim. Apabila sembahyang, sembahyangnya begitu lama. Beliau memanjang ruku`nya dan juga sujudnya”.8

Selaku seorang ulama’ yang terkenal, Ibn Qayyim telah didampingi oleh ramai orang yang berguru dan mempelajari pelbagai bidang ilmu dengannya. Antara anak-anak muridnya yang masyhur ialah Ibn Kathir tokoh dalam ilmu hadis dan sejarah, Zayn al-Din Ibn Rajab al-Hanbali (m. 795H/1397M) seorang tokoh dalam Mazhab Hanbali dan Ibn Hajar al-`Asqalani (m. 852H/1449M) seorang tokoh hadis yang tidak asing lagi.


PENULISAN IBN QAYYIM

Menurut penyelidikan Dr. `Iwad Allah Jad Hijazi penulisan Ibn Qayyim dalam pelbagai bidang ilmu pengetahuan berjumlah 66 buah.10 Penulisan itu ada yang berjilid-jilid, ada yang tebal dan ada yang kecil serta ringkas. Dalam bidang tafsir Ibn Qayyim menulis Kitab al-Tibyan fi Iqsam al-Qur’an, Tafsir al-Mu`awwizatayn, Tafsir Surah al-Fatihah yang terdapat di awal KitabMadarij al-Salikin dan lain-lain lagi. Dalam bidang hadis antaranya Ibn Qayyim menulis kitab-kitab berikut iaitu Tahdhib al-Sunan oleh Abu Dawud dan sebagainya. Dalam bidang fiqh dan usul fiqh beliau menyumbangkan kitab-kitab berikut antaranya, I`lam al-Muwaqqi`in `an Rabb al-`Alamin, al-Turuq al-Hukmiyyah fi al-Siyasah al-Shar`iyyah, al-Salah wa Ahkam Tarikhiha, Tuhfah al-Mawdud bi Ahkam al-Mawlud, Bayan al-Dalil `An Istighna’ al-Musabaqah `an al-Tahlil, al-Tahlil Fi Ma Yahill wa Yahrum min Libas al-Harir dan sebagainya. Dalam bidang tasawuf Ibn Qayyim menulis, antaranya kitab-kitab Madarij al-Salikin, Rawdah al-Muhibbin wa Nuzhah al-Mushtaqin, al-Fawa’id li Ibn Qayyim, `Uddah al-Sabirin wa Dhakhirah al-Shakirin, Tariq al-Hijratayn wa Bab al-Sa`adatayn dan sebagainya. Dalam bidang kalam dan falsafah Ibn Qayyim menulis, antaranya, kitab-kitab berikut, iaitu, Shifa’ a-`Alil fi Masa’il al-Qada’ wa al-Qadar wa al-Hikmah wa al-Ta`lil, Kitab al-Ruh,18 Hadi al-Arwah ila Bilad al-Afrah, Miftah Dar al-Sa`adah wa Manshur Wilayah al-`Ilm wa al-Iradah. Dalam bidang sejarah beliau menulis Kitab Zad al-Ma`ad fi Hadi Khayr al-`Ibad. Ibn Qayyim juga menulis al-Tibb al-Nabawi, Talbis Iblis, al-Jawab al-Kafi `an Lima Su’ala `An al-Dawa’ al-Shafi dan lain-lain lagi.





























BAB II
PEMBAHASAN

PEMIKIRAN EKONOMI IBN QAYYIM

A. Falsafah ekonomi Islam
Ibn Qayyim dalam penulisannya telah menyentuh beberapa perkara berkenaan dengan falsafah ekonomi Islam iaitu konsep manusia Islam (homo islamicus) dan manusia bukan ekonomi (non homo economicus), konsep keadilan dan nilai-nilai etika dalam ekonomi, aktiviti-aktiviti ekonomi, kerjasama dan pembahagian buruh, pemilikan harta kekayaan oleh individu dan peranan kerajaan dalam ekonomi.

a. Manusia Islam
Ibn Qayyim menggariskan asas kepercayaan Islam bahawa setiap manusia bertanggungjawab membimbing diri sendiri untuk menjadi hamba Allah yang baik dan Allah SWT merupakan sumber pedoman dan petunjuk. Dalam pengajian ekonomi, manusia ekonomi (homo economicus) digambarkan sebagai manusia yang sifat, gelagat dan tindakannya mementingkan diri sendiri, tamak, haloba dan menjadikan keuntungan sebagai asas penting dalam semua jenis aktiviti ekonomi. Ibn Qayyim menggariskan asas kepercayaan Islam bahawa setiap manusia bertanggungjawab terhadap perbuatannya dan Allah SWT merupakan sumber yang menjadi pedoman dan petunjuk untuk menuju ke jalan yang betul. Ibn Qayyim menekankan pandangan Islam bahawa hidup di dunia ini adalah ujian dan cubaan dari Allah SWT. Ujian yang dikenakan kepada manusia itu boleh sama ada dalam bentuk anugerah harta kekayaan atau pun diberikan kehidupan yang susah. Anugerah kekayaan kepada seseorang tidak bermaksud Allah SWT saying kepadanya. Demikian juga ujian kemiskinan tidak bermaksud Allah SWT benci kepada seseorang. Harta kekayaan yang dimiliki oleh manusia bukanlah bererti hidup ini penuh dengan kesenangan.

b. Keadilan
Keadilan adalah teras semua aspek dalam kehidupan. Menurut Ibn Qayyim, keadilan adalah objektif syariah. Ini adalah kerana syariah itu mengandungi keadilan, keberkatan dan kebijaksanaan. Perkara yang bercanggah dengan keadilan akan menukarkan keberkatan dan kebajikan kepada laknat dan kejahatan, dan daripada kebijaksanaan kepada sesuatu yang tidak berfaedah kepada syariah.

c. Nilai-nilai etika dalam kegiatan ekonomi
Ibn Qayyim menjelaskan nilai-nilai etika yang baik yang seharusnya diamalkan oleh orang-orang Islam dalam kegiatan ekonomi mereka. Antara nilai-nilai etika yang baik tersebut ialah kepatuhan kepada Allah SWT, ketaatan kepada agama, sifat baik, jujur dan benar. Apabila nilai-nilai etika tersebut diamalkan dalam kehidupan seharian terutamanya dalam kegiatan ekonomi akan menjauhkan nilai-nilai jahat seperti pembohongan, penipuan dan korupsi. Selanjutnya beliau menjelaskan bahawa akibat kepada sifat semulajadi suka berbohong ialah melakukan korupsi yang menyebabkan kejayaan tidak tercapai dalam kehidupan. Apabila keadaan ini berlaku, kehidupan perekonomian akan cacat termasuk juga aspek-aspek lain dalamkehidupan. Dalam perkataan lain, pembohongan memberi impak yang besar dalam kehidupan orang-orang Islam. Memandangkan akibat yang besar daripada ketidaktaatan dan kejahatan-kejahatan sosial, Ibn Qayyim menulis di tempat lain bahawa kesan-kesan dosa adalah tidak baik dan dikutuk. Dosa-dosa ini mencacatkan kepada jasad dan roh manusia yang merosakkan kehidupan di dunia ini dan selepas mati. Beliau memperkukuhkan pendapatnya dengan sepotong hadis Rasulullah SAW yang mengatakan bahawa dosa menyebabkan pengurangan dalam cara hidup manusia.26 Sebaliknya kepatuhan kepada perintah Allah SWT dan melakukan amalan-amalan yang baik membawakepada peningkatan dalam cara hidup dan kejayaan-kejayaan dalam urusan-urusan ekonomi. Sifat-sifat yang negatif seperti pembohongan, penipuan dan pengeksploitasian serta ketidakjujuran mendorong kepada keadaan yang tidak tenteram dalam kehidupan masyarakat seperti huru-hara, kecurigaan, ketidakstabilan dan kekecewaan. Apabila semua perkara ini berlaku, kegiatan ekonomi akan menguncup. Sebaliknya nilai-nilai etika yang diamalkan dalam masyarakat akan menyuburkan suasana keyakinan dan jaminan keselamatan dalam masyarakat. Pada masa yang sama, masyarakat akan bekerjasama dalam proses pengeluaran dan kestabilan ekonomi. Dalam perkataan lain pengeluaran barang-barang dan perkhidmatan akan meningkat dan masyarakat akan hidup mewah.

d. Aktiviti-aktiviti ekonomi
Berhubung dengan aktiviti ekonomi, Ibn Qayyim menjelaskan bahawa ekonomi adalah teras kepada kehidupan manusia. Tanpa ekonomi kehidupan akan susah dan keperluan jasmani seharian manusia seperti makanan, minuman, tempat tinggal dan sebagainya tidak boleh dipenuhi. Beliau memberikan banyak misalan umpamanya, bagaimana bijirin hanya akan dapat dituai dan diperoleh oleh petani dengan melakukan aktiviti pertanian. Tanpa berusaha dan bekerja ianya tidak akan datang secara bergolek atau melayang. Ibn Qayyim menyarankan supaya manusia giat melakukan sebarang aktiviti ekonomi melainkan yang dilarang oleh Syariah seperti jual beli yang mengandungi unsur-unsur gharar, riba dan perjudian.30

e. Kerjasama ekonomi dan pembahagian buruh
Ibn Qayyim menekankan konsep kerjasama dalam ekonomi dan tanggungjawab sosial. Menurut beliau, meskipun manusia itu ramai bilangannya dan dibahagikan kepada unit-unit yang berbeza, mereka dianggap seperti satu jasad yang bekerjasama antara satu sama lain. Kerjasama ini akan memberikan pulangan kepada mereka dengan anugerah-anugerah yang tidak boleh mereka nikmati jika bekerja secara sendirian. Beliau yakin bahawa gandaan dan kepelbagaian manusia memerlukan kepada kerjasama dan pembahagian buruh.31
f. Pemilikan harta kekayaan oleh individu dan campur tangan kerajaan dalam ekonomi.
Ibn Qayyim menganjurkan campur tangan kerajaan dalam pemilikan harta kekayaan oleh individu jika individu menggunakan harta kekayaan berkenaan pada jalan yang bertentangan dengan faedah masyarakat yang lebih besar. Dalam hubungan ini, Ibn Qayyim telah memetik sepotong hadith Rasulullah SAW berkenaan dengan seorang hamba (harta) yang dimiliki bersama oleh beberapa rakan kongsi (tuan) hendak dibebaskan oleh salah seorang daripada tuannya dan tuan-tuan yang lain tidak bersetuju dengan pembebasan tersebut. Dalam kes ini Rasulullah SAW memutuskan harga yang adil kepada hamba itu dinilai dan rakan-rakan kongsi yang lain diminta menerima bahagian masing-masing. Selepas itu, hamba berkenaan telah dibebaskan. Selepas menukilkan hadis ini Ibn Qayyim menulis bahwa hadis tersebut menjadi asas kepada peraturan sesuatu harta yang tidak boleh dibahagikan dan dimiliki bersama boleh dijual jika salah seorang daripada para pemiliknya berhasrat untuk menjualnya. Hadith berkenaan juga menyokong prinsip yang dipakai iaitu jika seseorang itu harus dibayar ganti rugi ia hendaklah dalam bentuk harga yang adil. Kisah di atas menjelaskan bahawa kerajaan mempunyai hak mengambil sesuatu yang menjadi menjadi milik individu jika pengambilan itumemberikan manfaat yang lebih besar kepada masyarakat dengan membayar ganti rugi yang seadilnya. Konsep pemilikan, kemiskinan dan kekayaan mempunyai hubungan yang erat antara satu sama lain. Dalam hubungan ini, Ibn Qayyim memfokuskan penulisannya dalam pemilikan individu terhadap harta kekayaan serta keharusan campur tangan kerajaan dalam pemilikan tersebut.

B. Pandangan Ibn Qayyim tentang kekayaan dan kemiskinan

Penyebaran pengaruh tasawuf yang meluas pada masa Ibn Qayyim mengakibatkan masyarakat melupakan kehidupan duniawi dan menumpukan terus kepada kehidupan ukhrawi. Fahaman yang salah ini menyebabkan orang ramai hidup dalam kemiskinan dan kepapaan kerana bagi mereka harta kekayaan itu adalah kehidupan dunia yang sementara dan tidak perlu dicari. Untuk membetulkan salah faham ini, Ibn Qayyim cuma sedaya upaya supaya masyarakat Islam yang sewaktu dengannya kembali kepada ajaran Islam yang sebenarnya iaitu perimbangan antara kehidupan dunia dan kehidupan akhirat. Lebih lanjut lagi supaya masyarakat dapat menyeimbangkan antara pemilikan kekayaan dan kehidupan kemiskinan. Ibn Qayyim berhujah bahawa kekayaan yang dimiliki oleh seseorang itu membolehkannya melaksanakan semua jenis amalan kebaikan dengan mudah seperti menunaikan haji, jihad, membina masjid dan terusan, memberikan hadiah, berkahwin, pembebasan tawanan, perbelanjaan yang wajib dan sunat dan sebagainya. Mereka yang sependapat dengan Ibn Qayyim juga berpendapat bahawa ramai contoh-contoh di kalangan sahabat dan mereka yang berkedudukan tinggi waktu itu pada waktu Nabi Muhammad SAW terdiri daripada orang kaya. Dengan kekayaan itu mereka membuat pelbagai sumbangan dan penglibatan dalam jihad serta membantu orang-orang Islam yang lain.
Selanjutnya dalam hal ini Ibn Qayyim berpendapat iaitu “daripada kalangan orang kaya dan orang miskin, yang paling disukai adalah makhluk yang bertaqwa pada Allah dan dia melebihkan amanah-amanah baik. Oleh itu, orang kaya dan orang miskin adalah sama dalam asas ukuran ini.”Dia juga berpendapat bahawa kekayaan dan kemiskinan adalah ciptaan Allah SWT untuk menguji hamba-hambaNya siapa yang lebih baik dalam amalan-amalannya.36 Kadang-kala Allah menguji seseorang dengan memberikan kepadanya kekayaan yang melimpah ruah. Pada masa yang lain seseorang itu diuji dengan kemiskinan.37 Kenyataan di atas adalah selari dengan prinsip asas falsafah ekonomi Islam sebagaimana yang dihuraikan oleh ahli-ahli ekonomi Islam berkenaan. Ibn Qayyim juga mengingatkan kita supaya tidak terkeliru antara konsep kemiskinan dan kehidupan yang zuhud di dunia. Zuhud ialah antara nilai Islam yang paling penting yang disalahertikan sebagai pelepasan kekayaan dan perkara-perkara baik dalam kehidupan.38 Dalam penulisannya iaitu Madarij al-Salikin, Ibn Qayyim telah mengemukakan pelbagai pendapat berkenaan dengan zuhud.39 Beliau bertegas mengatakan bahawa zuhud bukan berarti menolak perkara-perkara duniawi. Harta benda yang banyak bukan menjadi penghalang kepada seseorang untuk menjadi insan yang warak dalam hidup mereka. Seseorang boleh mempunyai sikap membersihkan diri dan menolak perkara-perkara duniawi meskipun ia mempunyai banyak harta kekayaan, dan seseorang juga boleh memiliki sedikit sifat zuhud meskipun ia hidup dalam Kemiskinan

C. Kepentingan Ekonomi Zakat
Menurut Ibn Qayyim fungsi zakat ialah untuk membangunkan kualiti kebaikan, persaudaraan dan kebajikan. Atas alasan inilah kadar khusus zakat ditetapkan. Ia boleh mencapai tujuan ini dengan mudah tanpa menyebabkan sebarang keresahan. Jumlah bayaran zakat tidak terlalu banyak yang boleh menyebabkan pembayarnya merasa terkilan. Bayaran tersebut cukup untuk memenuhi keperluan asas golongan yang tidak berada. Jika kadar bayaran zakat itu tinggi, orang-orang yang kaya berkemungkinan mengelak dengan pelbagai cara daripada membayarnya. Jika golongan yang kaya enggan membayar zakat yang diwajibkan ke atas mereka dan golongan yang miskin tidak menerima apa yang menjadi hak kepada mereka, fungsi pembayaran
zakat seperti diterangkan di atas tidak boleh dicapai. Ibn Qayyim menulis bahawa zakat dikenakan ke atas setiap jenis harta kekayaan dan ke atas setiap barang-barang yang boleh meningkatkan pertumbuhan dan memberikan pulangan. Barang-barang untuk tujuan penggunaan seperti pakaian, rumah, peralatan, binatang tunggangan dan seumpamanya bebas daripada kewajipan dikenakan zakat. Hanya empat jenis harta sahaja yang dikenakan zakat iaitu binatang ternakan, tanaman dan buah-buahan, emas dan perak serta barang-barang dagangan. Terdapat empat kadar zakat yang diambil berat iaitu 20% (1/5), 10% (1/10), 5% (1/20) dan 2.5% (1/40). Ibn Qayyim membincangkan dalam dua tempat dalam penulisan-penulisannya tentang kepentingan dan sebab ekonomi di sebalik kadar zakat yang berlainan. Menurut beliau, penglibatan buruh adalah pertimbangan yang diambil kira dalam penentuan kadar-kadar itu.
Semakin besar jumlah buruh yang terlibat dalam sesuatu proses pengeluaran, semakin kecil kadar zakat yang perlu dibayar dan sebaliknya. Umpamanya kadar zakat ke atas tanaman yang diairi dengan air hujan ialah 10% dan 5% bagi tanaman yang diairi oleh tenaga buruh. Selain daripada jumlah buruh yang terlibat dalam proses pengeluaran menjadi penentu kadar zakat, Ibn Qayyim juga menjelaskan faktor lain yang menyumbang kepada perkara tersebut. Antaranya ialah untuk mewujudkan konsep keadilan dalam ekonomi. Jika semua pemilikan mempunyai kadar zakat yang sama, galakan untuk berusaha dan bekerja akan hilang daripada pemilik-pemilik harta berkenaan. Juga kerana kadar peningkatan barang-barang adalah berlainan. Peningkatan dalam tanaman dan buah-buahan adalah lebih daripada peningkatan dalam barang-barang perdagangan. Kadar peningkatan yang berbeza ini memberikan kesan yang berbeza dalam cukai. Dalam kes ini cukai yang perlu dibayar oleh pengeluar barang-barang pertanian adalah lebih berbanding dengan cukai yang perlu dibayar oleh para pedagang terhadap
barang-barang dagangan mereka. Pertumbuhan tanaman yang diairi oleh air hujan adalah lebih baik berbanding dengan pertumbuhan tanaman yang diairi oleh usaha manusia atau terusan atau perigi. Abdul Azim Islahi ketika mengulas pendapat Ibn Qayyim menyatakan bahwa pendapat itu mempunyai kebenarannya pada zaman dahulu yang hampir-hampir tidak terdapat industri berskala besar dalam bidang perniagaan. Industri yang wujud dalam industri kebanyakannya hanya dalam bentuk perniagaan kecil. Bentuk pengairan dan pertanian adalah dalam bentuk yang
mudah dan tidak kompleks. Tetapi situasinya adalah berlainan dengan masa sekarang. Bentuk perniagaan domestik dan luar negara adalah dalam skala besar, dan kegiatan pertanian diuruskan menggunakan cara dan teknik yang canggih dan moden. Oleh itu, justifikasi yang dikemukakan oleh Ibn Qayyim tentang perbezaan kadar kewajipan membayar zakat adalah sukar untuk diterima. Berkenaan dengan tempoh pembayaran zakat, Ibn Qayyim menulis bahawa zakat boleh dibayar apabila cukup tempoh satu tahun pemilikan harta kecuali pada harta kekayaan yang tidak diketahui pemiliknya, zakat akan dikenakan serta merta seperti penemuan harta karun. Sementara dalam kes zakat pertanian, ia akan dikutip pada masa hasil dituai. Tempoh satu
tahu yang ditetapkan oleh syariah adalah paling sesuai dan memadai untuk kutipan zakat. Jika zakat dikutip untuk tempoh bulanan dan mingguan, ia akan menjejaskan kemaslahatan pembayar zakat. Sementara jika ia dikutip sekali sahaja sepanjang hidup, ia akan menjejaskan kebajikan dan kehidupan golongan miskin. Oleh itu tempoh haul setahun qamariyyah adalah sesuai.46
Dalam tempoh itu, pemilik harta berkenaan boleh menggunakan hartanya pada jalan yang produktif dan mendapatkan pulangan. Sebaliknya jika zakat dibayar setiap minggu atau bulan, ia akan menyusahkan para pembayar zakat untuk membuat taksiran pada harta mereka dan bagi negara pula pengurusan kutipan dan agihan zakat akan menjadi mahal dan sukar.
Zakat yang dikutip oleh negara akan diagihkan pada mereka yang berhak untuk menerimanya. Ibn Qayyim menjelaskan bahawa terdapat lapan golongan yang berhak menerima bahagian zakat sebagaimana yang ditetapkan oleh al-Qur’an. Beliau membahagikannya kepada dua kategori.
Kategori yang pertama ialah mereka yang berhak menerima zakat mengikut keperluan iaitu fakir, miskin, riqab dan ibn sabil. Kategori kedua ialah mereka yang menerimanya untuk kegunaan sendiri iaitu amil, mualaf, orang yang berhutang untuk tujuan baik dan mereka yang berjuang fi sabil Allah.
D. Bunga – riba al-fadl dan riba al-nasi’ah
Ibn Qayyim juga membincangkan persoalan riba yang menjadi teras dalam amalan perbankan dan kewangan konvensional dan beliau menyatakan amalan riba amat bertentangan dengan amalan zakat dan sedekah. Ibn Qayyim memetik ayat 276 dalam surah al-Baqarah yang bermaksud;
“Allah SWT susutkan (kebaikan harta yang dijalankan dengan mengambil) riba dan ia pula mengembangkan (berkat harta yang dikeluarkan) sedekah dan zakat.”
Beliau membahagikan riba kepada dua jenis iaitu riba al-fadl 50dan riba al-nasi’ah. Riba al-fadl diistilahkan juga oleh Ibn Qayyim sebagai riba al-khafi dan riba al-nasi’ah sebagai riba al-jali. Riba al-Fadl berlaku dalam urus niaga enam jenis komoditi yang ditukar sesama komoditi berkenaan secara tidak sama sukatan atau timbangan dan secara hutang. Keenam-enam komoditi tersebut ialah emas, perak, gandum, barli, tamar dan garam. Sementara riba al-nasi’ah berlaku pada transaksi hutang wang dengan wang yang dibayar secara tidak sama nilai atau jumlahnya. UmpamanyaA meminjam RM100.00 daripada B dan B meminta A membayar hutang tersebut dengan jumlah yang lebih umpamanya, RM120.00. Ibn Qayyim melarang amalan semua jenis riba kerana ia boleh member kesan buruk kepada masyarakat dan menghilangkan perasaan ihsan dan semangat tolong menolong. Sebaliknya ia boleh menimbulkan permusuhan antara individu.

E. Mekanisme Pasaran dan Penghargaan
Berkenaan dengan mekanisme pasaran Ibn Qayyim menjelaskan bahawa perjalanan pasaran hendaklah berlaku secara adil dan kerjasama terpimpin. Unsur-unsur negatif dalam pasaran yang boleh mengakibatkan kezaliman kepada para peniaga lain seperti monopoli, sorok, paksaan dan sebagainyahendaklah diawasi oleh pihak pemerintah melalui institusi hisbah dan seumpamanya. Demikian juga dengan kes penghargaan barang-barang dan perkhidmatan di pasaran, beliau berpendapat ia hendaklah diserahkan pada pasaran iaitu berdasarkan kepada kuasa penawaran dan permintaan di pasaran. Jika ia berjalan secara adil, kerajaan tidak boleh campur tangan membuat penetapan harga kerana ia boleh menimbulkan kezaliman kepada mereka yang terlibat dalam pasar. Sebaliknya jika unsur-unsur negatif berlaku seperti kezaliman, paksaan, manipulasi dan sebagainya yang menyebabkan harga di pasar tidak menentu, maka kerajaan harus campur tangan untuk menstabilkan harga barang-barang berkenaan untuk masalah pengguna dan peniaga.

KESIMPULAN

Perbincangan di atas dapat disimpulkan bahawa sumbangan pemikiran ekonomi Ibn Qayyim adalah amat besar dalam perkembangan pemikiran ekonomi Islam. Beliau adalah seorang tokoh pemikir dan ulama terkenal dalam perbagai bidang disiplin ilmu termasuk ekonomi. Pemikiran beliau dalam ekonomi seperti pasaran, kawalan harga, nisbah dan sebagainya lebih dahulu dikemukakan daripada teori-teori ekonomi yang dicetuskan oleh para sarjana Barat seperti Adam Smith, Alfred Marshal, Maltus dan sebagainya. Pemikiran dan teori ekonomi Ibn Qayyim seperti dijelaskan di atas masih lagi relevan untuk menyelesaikan pelbagai masalah ekonomi dan kewangan semasa.








































REFERENSI

• Abdul Azim Islahi (1992), “Economic Thought of Ibn Qayyim”, dalam AbulHasan M. Sadeq, et al (eds.), Readings in Islamic Economic Thought, Petaling Jaya: Longman Malaysia, h. 162.
• Ibn Qayyim (1990), Zad al-Ma`ad fi Hadi Khayr al-`Ibad, Vol. 2, Beirut: Muassasah al-Risalah, h. 5.
• Ibn Qayyim (1408/1999), Madarij al-Salikin, Vol. 2, Beirut: Dar al-Kutub al-`Ilmiyyah, h. 1. Ibn Qayyim (1953), al-Turuq al-Hukmiyyah, Kaherah: Matba`ah al-Sunnah al- Muhammadiyyah, h. 245 – 246, 259 – 260.
• Ibn Qayyim (1996), I`lam al-Muwaqqi`in `an Rabb al-`Alamin, Beirut: Dar al- Kutub al-`Ilmiyyah, Vol. 1, h. 291.
• Ibn Qayyim (1994), `Uddah al-Sabirin wa Dhakhirah al-Shakirin, (ed.), Abu SahlNajjah, Kaherah: Maktabah al-Ima n, h. 194.
• Ibn Kathir (1966), al-Bidayah wa al-Nihayah, Beirut: Maktabah al-Ma`arif, 1966, Vol. 14, h. 234; Ibn `Imad (t.t.), Shadharat al-Dhahab fi Akhbar min Dhahab,Beirut: al-Maktab al-Tijari, Vol. 6, h. 168;